Wednesday 2 October 2013

WAJIB BERSIKAP IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU DAN AMAL IBADAT


Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110, Surah Al-Kahf)
" .. hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan kepada-Nya segala ibadat dan bawaan mu." (2, Surah Al-Zumar).
Hadis Ketiga Puluh Tiga
33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود وابن ماجه)
33- Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah,  sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga,  pada hari qiamat kelak."
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang ketiga puluh tiga ini menerangkan: 
Orang yang mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat habuan dunia, buruk padahnya.
Huraiannya:
Tiap-tiap perbuatan adalah dinilai menurut tujuan orang yang melakukannya. Sesuatu perkara yang dilakukan oleh dua orang dengan tujuan yang berlainan, maka berlainan pula nilainya, kerana tujuanlah yang mendorong seseorang melakukan sesuatu perbuatan itu.
Ilmu agama - sebagaimana yang sedia diketahui - adalah dan Allah,  untuk menjalankan perintah-perintah Allah dan beramal kerana Allah.
Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya sungguh-sungguh kerana Allah, bukan kerana kepentingan dunia.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa orang yang menuntut ilmu agama untuk mendapat habuan dunia semata-mata, maka ia bukan sahaja tidak memasuki syurga bahkan tidak dapat mencium baunya, kerana orang yang demikian telah menyelewengkan agama Allah dan telah
menjualnya dengan habuan-habuan dunia.  Oleh itu sudah selayaknya ia menerima balasan yang seburuk-buruknya.
Dalam pada itu, janji balas buruk yang tersebut dalam hadis ini, tidak ditimpakan kepada orang yang menuntut ilmu agama dengan ikhlas,  kemudian ia beroleh habuan dunia sebagai nikmat pemberian yang disegerakan Tuhan kepadanya, maka orang yang demikian tidak dikeji oleh syarak, 
kerana ia tidak menyelewengkan agama Allah dan tujuannya yang sebenar.
Mengenai hal ini, Imam Ghazali dan alim ulamak yang lain telah membahagikan penuntut-penuntut ilmu kepada tiga bahagian: 
Pertama - Orang yang menuntut ilmu kerana Allah dan untuk keselamatannya pada hari akhirat, maka ia adalah dari orang-orang yang berjaya! 
Kedua - Orang yang menuntut ilmu untuk mendapat kemuliaan,  kebesaran dan harta kekayaan,  dalam pada itu ia menyedari akan tujuannya yang buruk itu. Orang yang demikian, jika ia bertaubat dan menyelamatkan dirinya dan perbuatannya yang salah itu maka ia akan termasuklah dalam golongan orang-orang yang berjaya,  kerana orang yang bertaubat dari dosanya akan menjadilah ia sama seperti orang yang tidak berdosa;  dan jika ia mati sebelum bertaubat,  adalah ditakuti ia akan mati dalam keadaan Su' al-Khatimah", semoga Allah melindungi kita daripada keadaan yang demikian dan dari segala yang membawa kepada "kesudahan yang buruk" itu.
Ketiga - Orang yang menuntut ilmu dengan tujuan mendapat harta kekayaan dan pangkat kebesaran, dengan menyangka bahawa ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, kerana ia berlagak seperti alim ulama pada pakaian dan tutur katanya; maka orang yang demikian adalah dari golongan yang binasa, kerana ia dihalangi dari bertaubat oleh sangkaannya bahawa ia berada di atas jalan yang benar. 
Pendeknya orang yang menuntut ilmu dikehendaki menentukan niat dan tujuannya pada tiap-tiap masalah secara khusus satu persatu, atau secara umum - bahawa ia mempelajari ilmu itu ialah untuk menunaikan fardu ain" yang ditanggungnya untuk kewajipan dirinya sendiri, dan yang lebih dan itu hendaklah diniatkan untuk disampaikan kepada orang ramai sebagai "fardu kifayah"; dan janganlah diniatkan sebagai perkara "sunat" kerana pahala "perkara yang difardukan" adalah lebih besar dari itu.
Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya dengan ilmu yang diajarkannya itu akan dapat mencapai jalan yang menyampaikan faedahnya kepada segala lapisan masyarakat, dengan perantaraan murid-muridnya dan murid-murid kepada murid-muridnya, meliputi ilmu dan amal yang terus menerus hingga hari qiamat.
Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya untuk menyekat dirinya dari melakukan maksiat dengan berlaku taat kepada Allah dan juga menyekat dirinya dari perkara-perkara yang sia-sia dan merugikan.
Menurut Imam Al-Qarafi, bahawa sesiapa yang mengajarkan ilmu kepada orang ramai dengan tujuan hendak menjadi orang yang masyhur dan terpuji,  maka perbuatannya yang demikian menjadi sebab untuk ia dipulaukan dan tidak diambil ilmu yang disampaikannya.
Hadis Ketiga Puluh Empat
34- عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ. (الترمذي وابن ماجه)
34 - Dari Ka'ab bin Malik ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menuntut ilmu, dengan tujuan bermegah-megah menandingi alim ulama dengan ilmunya itu, atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang-orang yang jahil dengan ilmunya itu, atau pun dengan tujuan menarik dengan ilmunya itu perhatian orang ramai memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam neraka. "
(Tirmizi dan Ibnu Majah)
Hadis yang ketiga puluh empat ini mengingatkan:
Penuntut-penuntut ilmu supaya jangan bertujuan selain dari mentaati Allah serta mendapat keredhaan-Nya.
Huraiannya:
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak sepatutnya dijadikan tujuan bagi menuntut ilmu agama: 
1 - Bermegah-megah menandingi alim ulama.
2 - Bertengkar dengan orang-orang jahil. 
3 - Mendapat pujian orang ramai.
Sesiapa yang menjadikan salah satu dan tiga perkara yang tersebut sebagai tujuannya dalam mempelajari ilmu agama,  maka amatlah buruk balasannya, kerana sikap dan tujuannya yang demikian bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri bahkan juga membawa kerosakan kepada agama Allah yang dibawa oleh RasulNya.
Kejadian yang demikian dapat disaksikan di mana-mana; ada di antara orang-orang yang mempelajari ilmu agama tetapi perbuatannya memburukkan Islam. Ada pula yang tidak beramal menurut ilmu dan ajaran Islam yang dipelajarinya, kerana amal bakti itu bukan menjadi tujuannya; pada hal tujuan yang tunggal bagi menuntut ilmu agama itu ialah untuk mencapai keredhaan Allah Taala dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
Hadis Ketiga Puluh Lima
35- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ. (مسلم والترمذي والنسائي)
35 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari qiamat ialah: Pertama, orang yang gugur syahid - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu persatu nikmat-nikmatNya (yang telah diberikan kepadanya semasa hidupnya) lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab:  "Aku berperang kerana mematuhi perintahMu sehingga aku gugur syahid"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (bukan itu tujuan mu), akan tetapi engkau berperang supaya orang mengatakan: Engkau berani dan telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka.  Dan kedua, orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Qur'an - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmatNya satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab:  Aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Qur'an kerana mengharapkan keredhananmu"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim dan engkau membaca Al-Qur'an supaya orang mengatakan: Si anu seorang qari, maka telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka.  Dan ketiga, orang yang telah dimewahkan Allah hidupnya serta diberinya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat nikmatNya satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: "Aku tidak tinggalkan satu jalan pun di antara jalan-jalan yang engkau suka dibelanjakan kekayaan itu padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmatMu"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan: Si anu itu seorang dermawan,  - maka telah pun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap; akhirnya ia dihumbankan ke dalam neraka."
(Muslim, Tirmizi dan An-Nasa'i).
Hadis yang ketiga puluh lima ini menerangkan: 
Akibat buruk yang ditimpakan kepada orang-orang yang menyalahgunakan nikmat-nikmat pemberian Allah kepadanya.
Huraiannya:
Nikmat-nikmat Allah yang dikurniakannya kepada umat manusia amatlah banyak,  tidak terhitung. Nikmat-nikmat pemberian itu meliputi tiga bahagian besar dalam alam kehidupan ini - jasmani, rohani dan kebendaan. 
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menerangkan perihal tiga jenis manusia,  masing-masing mendapat salah satu dari jenis-jenis nikmat yang tersebut, iaitu nikmat jasmani seperti kesihatan dan kekuatan tubuh badan; nikmat rohani seperti ilmu pengetahuan dan amal ibadat;  dan nikmat kebendaan seperti wang ringgit dan hasil mahsul.
Setelah disoal dan dibicarakan pada hari qiamat, mereka didapati bukan sahaja tidak bersyukur akan nikmat-nikmat pemberian Allah itu bahkan mereka telah menyalahgunakannya dengan tujuan mendapat nama dan dipuji orang semata-mata. Oleh yang demikian berhaklah mereka ditimpa azab seksa yang diterangkan itu.
Hadis Ketiga Puluh Enam
36- عَنْ أَبِي سَعْدِ بْنِ أَبِي فَضَالَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا جَمَعَ اللَّهُ النَّاسَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيهِ نَادَى مُنَادٍ مَنْ كَانَ أَشْرَكَ فِي عَمَلٍ عَمِلَهُ لِلَّهِ أَحَدًا فَلْيَطْلُبْ ثَوَابَهُ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنْ الشِّرْكِ. (الترمذي)
36- Dari Abu Sa'id bin Abi Fadhalah ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila Allah Taala menghimpunkan manusia pada hari qiamat pada hari yang tidak ada sebarang syak tentang tetap berlakunya, - (pada hari itu) menyerulah malaikat penyeru:  "Sesiapa mempersekutukan (Allah dengan) mana-mana makhluk dalam sebarang amal yang dikerjakannya kerana Allah,  maka hendaklah ia meminta pahalanya daripada yang lain dan Allah,  kerana sesungguhnya Allah Taala tidak menerima sama sekali akan sebarang amal yang dipersekutukan Dia dengan makhluk yang lain."
(Tirmizi)
Hadis yang ketiga puluh enam ini menerangkan tentang:
(1) Peristiwa berhimpun di padang Mahsyar.
(2) Keputusan perbicaraan masing-masing akan dihebahkan dalam perhimpunan itu.
Huraiannya:
Di antara peristiwa-peristiwa yang akan ditempuh oleh setiap orang pada hari qiamat kelak ialah peristiwa berhimpun di padang Mahsyar. Susah senang atau berat ringannya kesusahan yang akan dirasai di situ adalah bergantung kepada amal masing-masing.
Setelah puas menunggu, masing-masing pun dibicarakan, dihisab dan ditimbang amalnya, kemudian diisytiharkan keputusan perbicaraan itu.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan:  Bahawa pada saat itu malaikat akan menghebahkan kepada umum:  Sesiapa yang melakukan syirik - mempersekutukan mana-mana makhluk dengan Allah dalam amalnya, hendaklah ia meminta balasannya kepada makhluk itu, kerana Allah Taala tidak menerima sama sekali akan sebarang amalan syirik. 
Pada ketika itu orang-orang yang bersalah akan menyesal,  tetapi sesal kemudian tidak ada gunanya. Maka wajiblah dibersihkan segala amalan dari tujuan yang lain daripada mengharapkan keredhaan Allah.
Hadis Ketiga Puluh Tujuh
37- عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَرَأَيْتَ رَجُلًا غَزَا يَلْتَمِسُ الْأَجْرَ وَالذِّكْرَ مَالَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ فَأَعَادَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَقُولُ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبَلُ مِنْ الْعَمَلِ إِلَّا مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ. (أبو داود والنسائي)
37- Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: "Ya Rasulullah!  Bagaimana hukum seseorang yang pergi berperang untuk mencari pahala dan nama yang terpuji,  apa yang akan didapatinya?" Maka Rasulullah s.a.w. (menyatakan kepadanya dengan) bersabda: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala"; Si penanya mengulangi pertanyaannya tiga kali dan Rasulullah s.a.w. pula tetap menjawab: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala"; akhirnya Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah `Azza wa Jalla tidak menerima sebarang amal melainkan yang dikerjakan untukNya semata-mata dan dengan tujuan untuk mendapat keredhaanNya."
( Abu Daud dan An-Nasa'i)
Hadis yang ketiga puluh tujuh ini menerangkan bahawa:
Sebarang amal yang dikerjakan bukan kerana Allah,  tidak ada nilainya di sisi Allah.
Huraiannya:
Sesuatu amal yang dikerjakan, walau seberapa besar dan tinggi nilainya pada anggapan manusia,  belum tentu ada nilainya di sisi Allah untuk mendapat balasan pahala pada hari akhirat kelak.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan hukum perkara itu kepada orang yang bertanya mengenai seseorang yang berjuang di medan perang dengan tujuan untuk mendapat pahala dan nama yang terpuji sebagai pahlawan yang gagah berani;  Baginda menyatakan bahawa orang itu tidak beroleh sebarang pahala.  Baginda menegaskan jawapannya itu sebanyak tiga kali, sambil menerangkan sebabnya amal itu yang pada zahirnya dipandang tinggi nilainya tetapi pada hakikatnya tidak mendapat sebarang pahala kerana ia dikerjakan bukan kerana Allah semata-mata, sedang Allah Subhanahu wa Taala tidak menerima melainkan amal bakti yang dikerjakan dengan ikhlas kepadaNya.

Thursday 18 July 2013

Membazir Ketika Berwudhuk


Diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah melintasi Saad yang sedang berwudhu, lalu Baginda ﷺ bertanya: “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?”  Saad bertanya: “Apakah di dalam wudhu juga ada istilah berlebih-lebihan?”  Baginda ﷺ menjawab: “Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.”
(Hadis Riwayat Ahmad r.a.)
.
.

Ulasan Hadis:

Melalui hadis ini, jelas kepada kita bahawa Rasulullah ﷺ melarang daripada melakukan pembaziran ketika berwudhuk. Bagaimana pembaziran yang dimaksudkan di dalam berwuduk?
Kebanyakan daripada kita selalu buka pili besar2 sehingga air keluar dengan laju dan deras ketika ambil wuduk, sampaikan basah pakaian. Sepatutnya kita hendaklah mengelakkan pembaziran. Buka air perlahan ketika mengambil wuduk dan insyaALLAH boleh sempurna. Jangan membazir kerana membazir itu amalan syaitan!
.
Amalan membazir ini telah dinyatakan dalam Al-Quran dan amat dilarang Allah سبحانه وتعالىhingga orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan.
Firman Allah سبحانه وتعالى:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27).
.
Sebenarnya kerana kejahilan, kita tidak rasa kita sedang melakukan dosa. Orang yang membazir termasuk melakukan dosa dan ia sudah pasti menjejaskan tumpuan dan khusyuk ketika solat. Kerana solat yang khusyuk itu bermula daripada keadaan wuduk yang dilakukan dengan baik dan sempurna.
.
Wudhuk sebenarnya untuk membersihkan rohani serta jasmani tetapi jika ketika membersih dalam masa yang sama ‘mengotorkan’ dengan amalan pembaziran dibimbangi akan mengganggu kualiti solat. Kemungkinan antara penyebab kita solat tetapi masih lagi tidak berubah kepada kebaikan adalah kerana perbuatan membazir ini.
.
Sebagaimana yang kita sedia maklum Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup membazir dalam semua urusan yang berkaitan dengan penggunaan air, perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir adalah tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak.
Secara tidak langsung kita telah menggunakan rezeki yang datang daripada Allah سبحانه وتعالىini secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepatutnya.
.
Rasulullah  bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Justeru, kita hendaklah memerhatikan setiap perbuatan kita, jangan sampai perkara pahala bertukar menjadi haram disebabkan kelalaian kita terhadap urusan agama.

Isu Aurat – Debat Ustaz vs Gadis Liberal


Gadis Liberal :
“Salam ustaz…..sorry for disturbing you…I just want to ask something from you…!!”

Ustaz :
“Ok silakan……what you want to know…”

Gadis Liberal :
“Ustaz it is true……perempuan tak menutup aurat ni jahat….?

Ustaz :
“Hmmm kalau mengikut hukum tak menutup aurat tu….memang jahat la kerana tak patuh perintah Allah.!!

Gadis Liberal :
“No no no ustaz you ‘re really wrong……pakaian tak melambangkan perangai dan tingkahlaku….kalau ustaz nak tahu….ramai wanita yang pakai tudung labuh nampak aje sopan…tetapi sebenarnya mereka nilah yang berperangai jahat…mereka hanya berselindung di sebalik tudung mereka…. Tu hipokrit namanya ustaz…..”

Ustaz :
“Sekurang –kurang nya mereka menutup aurat….dosa tidak menutup aurat adalah termasuk di dalam dosa besar kerana perbuatan mendedahkan aurat itu akan membuka pintu kepada zina”

Gadis Liberal :
“Ha ha ha ha ……I don’t think like that ustaz………..sebenarnya..masalah zina…rogol..sumbang mahram…..dan sebagainya yang melibatkan kerosakan akhlak kaum wanita adalah berpunca dari lelaki yang jahat dan bernafsu buas…..bukan sebab kami berpakaian tidak bertudung dan berpurdah.!!!”
“Ustaz pun tahu kan….orang lelaki ni…alim macam mana pun tapi bila tengok orang pompuan…..tercabut serban mereka……ha ha ha ha…”

Ustaz :
“Hai….macam perli saya aje ni….?”
Gadis Liberal :
“Ha ha ha ha….ustaz tak termasuk la…..saya percaya ustaz….. kalau tak saya takkan tanya soalan ni…….ha ha ha ha……!!”

Ustaz :
“Islam mengatakan….Fitnah yang membuka pintu zina itu adalah banyaknya berpunca dari wanita yang tidak menutup aurat dan menjaga kehormatan mereka”
Gadis Liberal :
“Habis tu ustaz…salah orang perempuan lah ye kalau…..orang perempuan diperdaya..dirogol…diragut kesuciannya oleh seorang lelaki playboy….?”

Ustaz :
“Bukan itu maksud saya…….apa yang saya nak katakan ialah…orang perempuan sekiranya tidak mendedahkan diri dengan penyebab yang menyebabkan lelaki cenderung untuk melakukan perbuatan yang jahat…maka selamatlah dirinya..dari sebarang ancaman dan gangguan seksual.”….
“Perbuatan membuka aurat itu bukankah menarik ghairah lelaki untuk melakukan sesuatu yang tak senonoh kepada seorang perempuan?” Hilangnya sifat malu seorang perempuan menyebabkan dirinya bercampur gaul dengan lelaki yang bukan mahram….menyebab terjadinya perbuatan berjumpa…berdating…berdua-duaan …..sehingga pihak yang ketiganya adalah syaitan…lalu syaitan pun membisikkan bisikan syahwat menyebabkan berlakunya perbuatan zina antara dua pasangan sejoli…!!”

Gadis Liberal :
“Alah ustaz …itu sebab orang lelaki lah yang mulakan dulu……orang perempuan ni insan yang lemah terpaksa mengikut kehendak lelaki”

Ustaz :
“Hmmmm…itulah yang tak betul tu…..seorang wanita yang baik….mestilah tegas menjaga maruah dan kehormatan dirinya…..Allah menjadikan wanita ini dari tulang rusuk Nabi Allah Adam a.s untuk hidup mulia sebagai seorang isteri yang mempunyai tugas yang mulia iaitu sebagai peneman suami dan sebagai insan yang berkongsi suka duka bersama suami..setia berkhidmat untuk suami dengan perasaan kasih sayang yang dibina atas dasar cinta…melalui perkahwinan yang sah”
“Bukanlah kasih sayang namanya jika seorang wanita membiarkan dirinya menjadi tempat memuaskan nafsu..lelaki yang jahat….bukan cinta namanya…apabila seorang wanita membiarkan maruahnya dimusnahkan……bukanlah bahagia namanya apabila seorang wanita bersama dengn lelaki tanpa ikatan yang sah.”

Gadis Liberal :
“Ok…ok….ustaz menang……Cuma saya nak ulangi balik ustaz pendapat saya tadi……perempuan yang bertudung pun bukannya baik sangat….ada diantara mereka ni ustaz yang lebih teruk akhlaknya daripada kami yang tidak bertudung ni….?”

Ustaz :
“Ha ha ha….janganlah disalahkan tudung jika akhlak seseorang itu buruk…..!!!….menutup aurat itu perintah Allah…sama ada manusia itu baik atau jahat…kan itu perintah Allah…kita tak boleh pertikaikan……!!”
“Jika akhlak seseorang itu jahat…..maka dia akan dikira dosanya mengikut akhlaknya yang jahat….tetapi jika dia tidak memakai tudung menutup aurat…..maka dosanya akan bertambah lagi…janganlah kita melakukan satu dosa…kemudian kita tambah lagi dosa…akibatnya derita kita di akhirat..lama kita diazab di dalam neraka…..!!”

Gadis Liberal :
“Baiklah ustaz…mungkin tak faham maksud saya…….beginilah saya buat contoh supaya ustaz mudah faham……ada seorang wanita yang tidak menutup aurat…tetapi dia baik..rajin..pemurah ..penyayang…hormat ibubapa…..suka menolong orang…dan ada pula seorang perempuan yang bertudung…tapi jahat…suka mencaci mengata orang…..sombong…pentingkan diri sendiri…kedekut…suka cari gaduh….yang mana lebih baik ustaz……?”

Ustaz :
“Saya faham maksud awak…..oklah….tentang perempuan tidak bertudung walaupun dia..baik…buat amalan baik….pemurah…menolong orang…sememangnya dia akan mendapat pahala dengan amalan baik yang dilakukan….tetapi ingat…Nabi saw pernah menerangkan di dalam satu riwayat….bahawa diakhirat nanti apabila kita dihadapkan di hadapan Allah swt…kita akan ditanya..tentang dosa dan pahala….jika ada dosa yang kita lakukan…maka pahala kita akan dipotong….jika kita banyak melakukan amalan baik sekalipun…tetapi jika tidak menutup aurat….pahala kita akan dipotong mengikut lama mana kita mendedahkan aurat ketika di dunia ini semasa kita hidup….sehingga tiada lagi pahala yang nak dipotong..kita tanggung pula dosa orang yang rosak matanya..akhlaknya…disebabkan oleh kita yang membuka aurat….sehingga kita menjadi manusia yang paling muflis di akhirat lalu dicampakkan kita ke dalam neraka.”
“Adapun perempuan yang bertudung…dia terlepas dari dosa mendedahkan aurat…. Dan jika dia melakukan dosa yang lain…yakni seperti mencaci..mengata…sombong..dan sebagainya…maka itu dosa lain yang dia kena memohon dari Allah keampunan …agar tidak di azab diakhirat….sekiranya tidak dia akan diazab mengikut dosa yang dilakukan…..cumanya tempoh diazab itu tidaklah selama tempoh azab dosa orang yang mendedahkan aurat..kerana tempoh tinggal di neraka disebabkan oleh dosa buka aurat ni… lama sangat.”

Gadis Liberal :
“Oh ye ke ustaz…..maaflah ustaz… saya tak pandai agama……saya cuma dengar orang bercerita…dan ada kawan-kawan saya yang menggelarkan diri mereka “ the liberal gurlz”……yang menyatakan…kalau tak boleh buang sifat-sifat……jahat dalam diri…tak guna pakai tudung labuh……munafik namanya tu……tunggulah sehingga kita benar-benar dah bersedia dan menjadi benar-benar baik….barulah kita pakai tudung tutup aurat…..”
Ustaz :
“Ha ha ha ha ha bila la agaknya tu ….baru awak jadi benar-benar baik…..bila dah masuk kubur….?”
“Satu perkara yang mesti kita ingat…dan perbetulkan persepsi kita…..berubah jadi baik dan bertaubat adalah perkara yang tak boleh ditangguh-tangguh…….berubah dan bertaubat mesti dilakukan serta merta …kerana jika kita tangguh dan tunggu dulu…..maka dikhuatiri kita tidak sempat..bertaubat dan berubah…kerana ajal maut itu tidak kita tahu bila tibanya….apakah kita boleh menjamin umur kita panjang?apakah kita boleh hidup sehingga ke detik masa kita bertaubat dan berubah……”please don’t make your life as a gambling game”jangan perjudikan hidup awak dengan hanya bersandarkan harapan yang tak pasti…..” Jika kita menyatakan kita kena tunggu sehingga dah benar-benar baik dan bersedia baru kita pakai tudung menutup aurat……maka adakah umur kita sepanjang itu untuk sampai ke detik itu????? Jika kita dimatikan Allah bagaimana?”
“Samalah macam awak tidak mahu kahwin hanya kerana awak nak tunggu calon suami yang benar-benar perfect..hensem….macho…hmmm sampai ke tua la tak kahwin jawabnya”

Gadis Liberal :
“Hu huh u ustaz…gerun saya dengar penerangan ustaz ni…..barulah saya faham……..saya ingat apa yang dikatakn oleh kawan-kawan saya tu betul…rupa-rupanya sesat larat kita dibuatnya……!! Terima kasih ustaz…barulah saya faham….dan insyaallah saya akan berubah ….cumanya mungkin ambil masa juga ustaz….maklumlah bukan senang kita nak mulakan perubahan dan benda baru ni…..kawan-kawan saya “The liberal gurlz” pasti terkejut dan mentertawakan saya bila saya berubah memakai tudung…..aduihhhh susahnya ustaz…kalau diorang kutuk saya…mau menangis saya nanti…..”

Ustaz :
“Biarlah kita menangis di dunia ini kerana mentaati perintah Allah dari kita menangis di akhirat kerana di azab akibat mengingkari perintah Allah”

Gadis Liberal :
“Isk…Isk…..Isk…ye lah ustaz…terima kasih….terima kasih…….saya rasa insaf sangat…..terima kasih ustaz…..semoga Allah mengampunkan dosa saya…..”

Ustaz :
“Insyaallah semoga Allah berikan awak kekuatan dan berubah dari yang baik kepada yang lebih baik……..saya akan doakan…..!!”
 

Saturday 6 July 2013

Kisah Rasulullah SAW Dengan Pengemis Yahudi Yang Buta


Pernahkah kita mendengar tentang berdakwahlah secara berhikmah. Kisah ini ada berkait rapat dengan dakwah bil hikmah yang mana, Nabi Muhammad berjaya membuat orang tertarik dengan Islam dengan hanya melakukan perbuatan sahaja. Kisah ini bermula di sudut pasar Madinah Al-Munawarah. Ada seorang pengemis Yahudi buta, setiap hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata, “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya.”
Setiap pagi Rasulullah s.a.w mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w melakukannya hingga menjelang baginda wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi yang buta itu.



Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.a. Beliau bertanya kepada anaknya, “Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?” Aisyah r.a menjawab pertanyaan ayahnya, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja.” “Apakah itu?” tanya Abu Bakar r.a. Setiap pagi Rasulullah s.a.w selalu pergi ke hujung pasar dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana,” kata Aisyah r.a.
Keesokan harinya Abu Bakar r.a pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, “Siapakah kamu?” Abu Bakar r.a menjawab, “Aku orang yang biasa.” “Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” jawab si pengemis buta itu. “Apabila dia (Rasulullah s.a.w) datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu dia berikan padaku dengan mulutnya sendiri,” pengemis itu melanjutkan perkataannya.
Abu Bakar r.a tidak dapat menahan air matanya, dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.” Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a, dia pun menangis dan kemudian berkata, “Benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia.” Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abu Bakar r.a.